DISEMBER 2022

Sarawak Perlu Bangunkan 2,000KM Jalan Baharu


KUCHING: Timbalan Premeir Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan memberi kerjasama erat dengan Timbalan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Haamidi dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, beliau berkata akan memberi kerjasama penuh kepada Ahmad Zahid dan Alexander Nanta (Menteri Kerja Raya) dalam usaha membangunkan lebih banyak jalan raya luar bandar di negeri ini.

Berdasarkan kajian, Sarawak perlu membangunkan sekurang-kurangnya 2,000 kilometer (km) jalan baharu, katanya sebelum membuat tinjauan bulanan ke projek jalan raya dan jambatan di Bahagian Kuching dan Samarahan di sini.

Pembinaan jalan raya baharu itu penting untuk menghubungkan rumah panjang dan kampung ke jalan utama dan pusat bandar menjelang tahun 2030, tegas beliau dan menambah, pembinaan jalan raya baharu itu memerlukan belanja besar.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berharap dapat berunding dengan Ahmad Zahid mengenai jumlah dana yang diperuntukkan kepada Sarawak.

“Kerajaan Sarawak juga mempunyai beberapa cadangan bagi mempercepatkan projek pembinaan jalan raya luar bandar di negeri ini dan pernah berunding dengan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Madhzir Khalid dan Sarawak memerlukan peruntukan lebih banyak bagi menjayakannya,”  tegas beliau.

Beliau berkata, Sarawak bertuah kerana sekali lagi diberi peranan memimpin kementerian penting di peringkat persekutuan (Alexander Nanta Linggi).

Satu lagi isu penting ialah mengenai penyelenggaraan jalan persekutuan di negeri ini, katanya dan menegaskan, Sarawak masih memerlukan lebih banyak jalan raya supaya membangun seiring dengan negeri-negeri lain.

Uggah dengan ditemani Setiausaha Tetap Kementeriannya, Chew Chee Yaw meninjau projek pembinaan Jambatan Rambungan, jambatan Sungai Belian dan Sungai Rayu, naik taraf Jalan Matang Baru dan lima bulatan di laluan Kuching-Samarahan.

Sumber dari : Jiwa Bakti